Friday, 14 December 2012

10 Muwasafat Tarbiyah - Imam Hasan Al Banna


Apakah itu Muwasafat Tarbiyah?

Muwasafat Tarbiyah adalah kriteria yang perlu ditanamkan dalam diri untuk membentuk keperibadian Muslim yang unggul. Insyaallah.

1) Aqidah Sejahtera (Salim-ul Aqidah)
Tidak menjampi kecuali dengan al-Quran yang ma’thur
Tidak berhubung dengan Jin
Tidak meminta bantuan dari orang yang meminta bantuan jin
Tidak menenung nasib
Tidak mendekati tukang tilik
Tidak mengusap kubur
Tidak meminta bantuan dari simati
Tidak bersumpah dengan selain Allah
Tidak mempercayai adanya sial
Mengikhlaskan amal kerana Allah
Mengimani rukun-rukun Iman
Mensyukuri Allah swt ketika menerima nikmat
Sentiasa sedar Syaitan adalah musuh
Menerima sepenuhnya dari Allah dan menolak sesuatu yang diturunkan selain Allah swt

2) Ibadah Yang Sahih (Shahih-ul 'Ibadah)
Tidak menolak untuk melaungkan azan
Bersuci dengan sempurna
Sangat menghargai solat berjemaah
Sangat suka berjemaah di masjid
Memperbaiki mutu solat
Qiamullail seminggu sekali
Menunaikan zakat
Berpuasa wajib
Berpuasa sunat sehari setiap bulan
Ada niat untuk menunaikan haji
Beriltizam dengan adab-adab tilawah
Khusyuk ketka membaca al-Quran
Menghafaz 1 juzuk dari al-Quran
Berdoa pada waktu-waktu yang diutamakan
Mengakhiri harinya dengan taubat dan istighfar
Menjadikan setiap amalan mempunyai niat
Menjauhi dosa-dosa besar
Sentiasa membaca zikir pagi
Sentiasa membaca zikir petang
Mengingati Allah swt pada setiap situasi
Menunaikan Nazar
Menyebarkan Salam
Menahan anggota dari perkara haram
Beri’tikaf di bulan Ramadhan jika ada peluang
Menggunakan sugi/siwak
Sentiasa bersuci (berwudhuk) sedaya mungkin

3) Akhlak Yang Mantap (Matin-ul Khuluq)
Tidak takabbur
Mempunyai pendirian
Tidak menipu
Tidak mencaci
Tidak mengadu domba
Tidak mengumpat
Tidak berdusta
Tidak mengejek
Tidak memperlekehkan sesuatu kumpulan
Tidak berkawan dengan orang yang berkelakuan buruk
Mengasihi orang yang lebih muda
Menghormati orang yang lebih tua
Menunaikan janji
Menundukkan pandangan
Menjaga rahsia
Menutup dosa orang lain
Cemburu terhadap isteri
Mempunyai perasaan cemburu atas agamanya

4) Mampu Berdikari (Qadirun 'Ala-l Kasbi)
Menjauhi pekerjaaan yang haram
Menjauhi riba
Menjauhi judi
Menjauhi penipuan
Menunaikan zakat
Membuat simpanan walaupun sedikit
Tidak menangguh-nangguhkan tugasan yang diamanahkan
Memelihara harta awam
Memelihara harta peribadi

5) Berpengetahuan luas (Mutsaqqaf-ul Fikri)
Mampu membaca dan menulis dengan baik
Membaca tafsir 1 juzuk dari al-Quran
Memelihara hukum-hukum tilawah
Menghafaz setengah dari hadith 40
Menghafaz 20 hadith dari Riyadhusshalihin
Mengkaji marhalah Makkah dan menguasai ciri-cirinya yang penting
Mengenali sepuluh orang yang dijanjikan Syurga
Mengetahui hukum-hukum taharah/bersuci
Mengetahui hukum-hukum solat
Mengetahui hukum-hukum puasa
Membaca sesuatu di luar bidangnya. 4 jam seminggu
Memahirkan diri dengan wasilah-wasilah moden
Sentiasa peka akan serangan Zionis terhadap Islam
Mengetahui pertubuhan-pertubuhan yg menyeleweng
Mengetahui aspek keburukan dari perancang keluarga
Mendengar dengan baik
Mampu memberikan pandangan
Bersedia menerima tugas-tugas kolektif
Tidak menerima syubahat yang dilemparkan keatas kita

6) Tubuh Yang Cergas (Qawwiy-ul Jism)
Bersih tubuh badan
Bersih pakaian
Tempat tinggal yang bersih
Beriltizam dgn sunnah (adab) makan dan minum
Tidak berjaga malam berlebihan
Iltizam dgn senaman 2 jam seminggu
Bangun sebelum terbit fajar/subuh
Mematuhi kaedah membaca dari aspek kesihatan
Meninggalkan tabiat merokok
Menjauhi tempat-tempat kotor
Menjauhi tempat-tempat berpenyakit

7) Menguasai Diri (Mujahadat-ul Li Nafsi)
Menjauhi perkara-perkara haram
Menjauhi tempat-tempat lalai yang diharamkan
Meninggalkan tempat-tempat maksiat

8)Teratur urusannya (Munazhzhamun Fi Syu'unihi)
Penampilan yang elok
Tidak mempunyai hubungan dengan pihak yang menentang Islam

9)Sangat Menghargai Masa (Harishun 'Ala Waqtihi)
Bangun awal
Menggunakan masa tertentu untuk belajar

10)Bermanfaat Kepada Orang Lain (Nafi'un Li Ghairihi)
Menunaikan hak ibu bapa
Menyertai majlis-majlis kegembiraan
Membantu orang-orang yang memerlukan
Membimbing orang yang sesat
Berkahwin dengan pasangan yang sesuai


Monday, 3 December 2012

Berfesyen ikut syariat ???

Perlu pilih fesyen yang bersesuaian untuk dipakai sehari-hari agar tidak bertentangan dengan syariat. 

Adakah salah untuk kita berfesyen? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang menjaga keterampilan diri dan kecantikan. 

Daripada Abdullah Ibnu Masud, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: 


“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah. Maka berkata seorang lelaki kepada Baginda: Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik. Balas Baginda SAW: Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong melenyapkan kebenaran dan kehinaan kepada manusia.” 

(Riwayat Imam Muslim) 

Rasulullah SAW tidak melarang seseorang manusia itu untuk memperagakan fesyen malah Baginda menerangkan Allah itu sifat-Nya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulullah SAW melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekelilingnya. 


Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa saja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang Muslim mahupun Muslimah dalam berpakaian. 

Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah memastikan pakaian menutup aurat. Aurat dalam berpakaian ialah kawasan anggota yang perlu dijaga dan ditutup oleh setiap orang Islam daripada dilihat orang lain. 


Tujuan utama diwajibkan menutup aurat ke atas umat Islam semata-mata untuk memelihara dirinya dan orang lain daripada perkara buruk yang menjerumuskan mereka ke lembah dosa. Aurat bagi lelaki antara kawasan pusat dan lututnya, manakala bagi wanita pula auratnya ketika bersama dengan bukan mahram adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua-dua pergelangan tangannya. 

Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh terutama kepada kaum wanita. Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan seperti mana diriwayatkan Imam Muslim dalam sahihnya antara golongan akan diazab Allah dalam api neraka adalah perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita yang memakai pakaian mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya. 

Ulama terkenal, Sheikh Muhammad Salih al-Uthaimin ketika mengulas hadis ini menyatakan yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian tubuh badannya. 

Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan memakai pakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh seperti diterangkan Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’. 

Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut-ikut budaya negatif masyarakat bukan Islam. Hal ini termasuklah ketika berpakaian dan memperagakan sesuatu fesyen. Nabi SAW melarang terikut-ikut budaya luar yang kadangkala mampu menggugat akidah dan akhlak umat Islam terutama dalam kalangan pemuda-pemudi. 

Nabi SAW bersabda: 


“Sesiapa yang terikut-ikut dengan gaya hidup sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan itu.” 

(Direkodkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi) 

Hadis ini melarang umat Islam terikut-ikut budaya luar yang bersifat negatif termasuklah dalam berpakaian. Antara ikutan negatif yang berlaku seperti memakai pakaian mempunyai gambar salib, bertindik pada anggota badan tertentu bagi kaum lelaki, melukis tatu dan lain-lain. 

Inilah realiti umat Islam akhir zaman seperti dinyatakan Nabi SAW: “Sesungguhnya kamu akan mengikuti gaya hidup masyarakat selepas kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak sekali pun nescaya kamu akan memasukinya.” (Hadis muttafaq alaih) 

Sesungguhnya Islam melarang umatnya menyerupai golongan berlainan jantina termasuklah dalam memperagakan fesyen. Hukum lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki adalah haram kerana ia berlawanan fitrah asal penciptaan manusia dalam tingkah laku dan pemakaian. 

Contohnya kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan ciri-ciri wanita seperti memakai pakaian diperbuat daripada sutera. Begitulah juga mereka ditegah daripada memperagakan tubuh badan dengan aksesori wanita seperti rantai emas, pewarna bibir dan pewarna kuku. 

Nabi SAW bersabda: 


“Sesungguhnya Allah SWT melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki.” 

(Direkodkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad) 

Nabi SAW menganjurkan kita bersederhana dalam segala perkara termasuk ketika memperagakan sesuatu fesyen. Kita perlu mengambil berat dalam memilih sesuatu fesyen yang ingin diketengahkan. 

Antara larangan Nabi SAW dalam berpakaian ialah memakai pakaian yang disebut sebagai pakaian ‘syuhrah’ iaitu pakaian yang keterlaluan bentuk dan potongannya berbanding pakaian kebiasaan. 

Hal ini untuk mengelakkan daripada timbulnya perasaan sombong dalam jiwa pemakai. Nabi SAW bersabda: 


“Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’ di dunia maka Allah SWT akan memakaikannya dengan pakaian yang hina pada hari akhirat.” 

(Direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah) 

Islam tidak melarang seseorang untuk berfesyen namun perlulah mengikut seperti yang digariskan syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Bagaimanakah niat kita berfesyen? 


Kita sewajibnya menghiaskan fesyen yang diharuskan syarak dengan penuh ketakwaan seperti firman Allah SWT: 

“Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.”

Sunday, 2 December 2012

Sembilan Untukku, Satu Buatmu



Wahai dikau pemilik persona yang mendamaikan,
Maafkan aku kiranya nukilan ini membuatmu jauh hati padaku

Aku tahu kamar hatimu terbuncang tulus kasih yang tak berbelah bahagi,
Aku tahu kerana aku juga begitu.
Aku tahu raudhahmu sarat kuntuman cinta yang harum mewangi,
Aku tahu kerana aku juga begitu.

Padamu selalu aku bisikan, dalam senda beralas, dalam gurau berbalas.
Bukan aku tak bersedia menerimamu sepenuhnya,
Bukan aku tak bersungguh denganmu seadanya.
Tapi itulah kata syariat, itu jugalah kata adat.
Langkah harus beringat, berkasih biar bertempat

Bagiku telah difitrahkan sembilan akal bak pahlawan,
Dan satu nafsu yang tidak terlawan,
Bagimu sembilan nafsu yang mudah ditawan,
Dan satu akal yang berpangkat bawahan

Bukan ini diskriminasi ilahi
Tapi itulah anugerah yang sangat berseni
Terciptanya kamu dari serpihan penuh rahsia
Yang mohon dituntun penuh waspada

Barang kau ingat wahai puteri
Sembilan akalku nakal tidak terperi
Satu nafsuku itulah raja, akalku pula setia bekerjasama
Sembilan akalku sedia berpadu,
demi memenuhi nafsu yang satu.

Panduan Memilih Jodoh Daripada Rasulullah S.A.W


Bagi golongan lelaki, Rasulullah s.a.w pernah bersabda : 
"...Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” 
Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.
Secara terang Rasulullah s.a.w telah mengarahkan agar seorang lelaki memilih wanita yang beragama sebagai isteri serta menjanjikan kebahagiaan ke atas pilihan yang berasaskan agama.
Bagi golongan wanita pula Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda : 
“...Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar ...”
Di dalam riwayat yang lain, menurut Abu Hatim al-Muzani r.a., selepas Rasulullah s.a.w bersabda seperti di atas, lalu para sahabat bertanya :
“Ya Rasulullah ! Walaupun dia telah mempunyai isteri?” Lalu Rasulullah s.a.w mengulangi, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia!” Rasulullah s.a.s mengulangi kata-kata tersebut sebanyak tiga kali. 

Tuesday, 13 November 2012

Perbezaan Cinta Sebelum dan Selepas Kahwin


Boleh saya tahu apa perbezaan cinta sebelum kahwin,selepas bertunang dan selepas kahwin? Mohon penjelasan!

Cinta Sebelum Kahwin

Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa, peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan pergaulan harian.Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam, kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah maksiat dan kelalaian dalam percintaan.

Walau bagaimanapun, jika percintaan itu mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa pencinta itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara perkara-perkara berikut:

Pertama : 
Menghormati maruah dan harga diri masing-masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang yang ketiga adalah syaitan. Di samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih. Sebaik-baiknya sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa yang mengawasi tingkah laku mereka. 

Kedua :
Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta itu. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak dan ajaran agama semasa bercinta

Ketiga :
Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredai dan diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.

Keempat :
Sentiasa melakukan solat Istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya, tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaannya itu untuk mendirikan rumah tangga yang terpelihara. Sekiranya dia bercinta tanpa niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.

Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi sebaliknya, apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.

Cinta Selepas Bertunang

Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin. Bertunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan.


Orang yang bertunang dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan.

Bertunang tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalalkan segala perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan tempoh memadu asrama. Maka orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’ untuk sentuh-bersentuhan, cium-berciuman dan sebagainya.


Pihak lelaki perlu menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak perempuan belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan cinta yang terbina.

Cinta Selepas Kahwin

Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakanNya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.

Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat. Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:


1.Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina. Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan janji yang dibuat.

2.Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain. Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.

3.Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik mungkin. Sesekali, hadiah dapat dijadikan penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.

Menjaga batas-batas pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan pergaulan mereka seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan. Mereka harus sedar dan berasa malu kerana mereka masih belum mempunyai sebarang hak ke atas satu sama lain.

Sedikit sebanyak penjelasan. Semoga ianya bermanfaat untuk anda semua.







Monday, 5 November 2012

Ksih Sayang : Yaa Allah! Bless our Mums!



A mother had the following conversation with her son:

Mum: Son, if I'm to lose one of my eyes, what could you do?
Son: I will engage the best doctors for you.

Mum: What if it doesn't work?
Son: I will send you to anywhere possible, to seek treatment for you.

Mum: And, if doesn't work?
Son: I will put you at home (by my side), and ensure that I provide you with anything, that will make you happy.

Mum: Son! I love you very much!

Son: Mum! What about you; what could you do, if I'm lose one of my eyes?
Mum: I will give you mine!

Moral of the story:
No matter how much you love your mum, she has loved you more, and still loves you more.

No matter how much prepared you are; to sacrifice for your mum, she has done more than that for you, and is prepared to sacrifice for you more.

Everyone has only one mother. If you are not in good terms with your mother, something is (definitely) wrong with you, regardless.

Yaa Allah! Bless our mums!
Yaa Allah! Bless our mums!
Yaa Allah! Bless our mums!

Thursday, 1 November 2012

Cinta Dalam Islam : Matlamat Dalam Cinta

" Pernikahan Ketika Di Usia Muda Bukan Penghalang Untuk Belajar "


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…
Sesungguhnya, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari kata-kata yang sesat lagi menyesatkan…
Asaalamualaikum…
CINTA, CINTA, CINTA DAN CINTA… Kita sering saja diperdengarkan dengan istilah cinta dan permasalahan cinta. Tapi berapa ramaikah di antara kita yang mengkaji apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan CINTA. Sebaliknya, ramai dalam kalangan kita yang hanya ingin menikmati rasa cinta sedangkan ada yang tersurat dan tersirat dalam rasa cinta itu. Mereka dengan mudahnya memperoleh cinta, sedangkan hakikatnya rasa cinta itu paling sukar untuk dinilai, ditafsir, dimiliki dan diungkapkan. Dan mereka inilah golongan yang tidak pernah rasa puas dengan hanya memiliki satu rasa cinta, bahkan mereka inilah yang tidak pernah mengerti apa itu kesetiaan, penghargaan dan kejujuran dalam sesuatu hubungan.
Sesuai dengan peredaraan masa, kita dapat melihat dan mendengar tentang kes-kes yang berkaitan dengan cinta. Persoalannya, adakah itu cinta? Ataupun nafsu? Kes-kes seperti ini berlaku kerana mereka yang bercinta ini tidak mempunyai matlamat. Apakah ada dalam kalangan kita yang mempunyai matlamat dalam bercinta? Jika jawapannya Ya, apakah sesuai matlamat kita itu dengan tuntutan syara’? Jika Tidak, apakah kita tidak serius dalam bercinta?
Dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan, seharusnya kita meletakkan matlamat agar perkerjaan itu tidaklah menjadi sesuatu yang sia-sia atau merugikan masa dengan melakukannya. Sebagai contoh, bila kita makan. Apakah matlamat kita untuk makan? Untuk membekalkan tenaga atau untuk menghilangkan rasa lapar atau untuk mengelakkan daripada dapat penyakit. Atau adakah di antara kita yang makan hanya untuk suka-suka. Tak ada matlamat langsung. Hanya sekadar menurut hawa nafsu.
Begitulah juga dengan tidur. Adakah kita tidur hanya untuk suka-suka. Sudah tentu tidak kan. Sudah semestinya kita tidur kerana ingin merehatkan badan dari keletihan, betul tak. Kalau begitu, mengapa kita tidak meletakkan matlamat ketika kita melafazkan cinta kepada seseorang, sama ada lelaki atau perempuan. Adakah kita menganggap cinta itu satu permainan ataupun sekadar membuang masa. Jika itu yang bermain di fikiran, seeloknya kita ubahlah ia dengan tanggapan yang baik terhadap cinta.
Namun begitu, matlamat yang ingin diletakkan sebelum melafazkan cinta seharusnya bersesuaian dengan syara’ dan tidak melanggar hukum-hukum yang ditetapkan dalam Islam. Cinta yang mempunyai matlamat bukan sahaja menjamin kebahagian dalam jangka masa yang pendek, tetapi InsyaAllah kebahagiaan yang berterusan sehingga ke akhirat.
Pernah kita terfikir apakah kesannya jika cinta itu tiada matlamat? Sukar untuk dicapai dengan akal atau sukar untuk dibayangkan betapa besarnya kemusnahan yang akan berlaku jika cinta yang disebarkan itu tiada matlamat. Antara kesannya ialah mudah untuk berlaku pergaduhan antara lelaki dan lelaki atau perempaun dan perempuan hanya kerana gagal memiliki cinta yang direbutkan. Cuba kita fikirkan, apakah yang kita perolehi daripada memiliki cinta yang tiada matlamat? Adakah kita merasa puas jika memiliki cinta itu? Atau adakah kita merasakan bahagia jika memiliki cinta kosong itu?
Sudah tentu ramai yang mengatakan tidak. Kerana apa? Kerana ramai di antara kita yang menginginkan kebahagiaan dalam setiap perhubungan. Bagaimana mungkin kita memiliki kebahagian jika pekerjaan yang kita lakukan itu tidak mempunyai matlamat. Matlamat sebenarnya bukanlah setakat penting untuk kita peroleh sesuatu daripada apa yang kita usahakan. Tetapi, matlamat adalah bertujuan untuk kita menjadikan setiap perkara yang kita lakukan itu bukanlah sesuatu yang sia-sia.
Kebanyakan orang yang berjaya dalam hidup mereka adalah mereka yang mempunyai matlamat. Matlamat dalam hidup akan menjadikan manusia itu lebih bersungguh-sungguh dalam mengerjakan sesuatu yang ingin dilakukan. Jika hidup tanpa matlamat, ibarat seorang perenang yang berenang di tengah-tengah lautan di mana dia sendiri tidak tahu manakah hala tujunya. Matlamat juga boleh diumpamakan seperti kunci dalam sesebuah kejayaan.
Begitu juga dalam percintaan. Matlamat adalah kunci kepada kebahagiaan dalam perhubungan. Tetapi, seandainya matlamat yang dipendam itu berunsurkan perkara yang negatif, apalah guna ia menjadi matlamat. Sedangkan itulah yang akan menghancurkan hidup kita. Jika matlamat kita adalah untuk mengharapkan keredhaanNya, nescaya kebahagiaan dunia dan akhirat yang akan kita peroleh. Bukan susah untuk kita memperoleh keberkatan dariNya sekiranya kita tidak melakukan perkara yang dilarang. Dan bukan susah juga untuk kita memperoleh kemurkaaNya sekiranya kita melakukan apa yang dilarang dalam berhubungan. Apa yang penting adalah matlamat yang bersih. Jika kunci yang kita miliki itu bersih dan suci, insyaAllah kejayaan dan kebahagiaan yang diimpikan itu akan memberi kebaikan kepada diri sendiri.
Nota: Kepada lelaki yang sedang mencari cinta, carilah bakal isteri yang benar-benar mencintaimu nescaya akan selamatkanlah kamu dari fitnah mereka. Dan janganlah kamu mencari isteri kerana kamu mencintainya, kerana itu akan menyusahkanmu. Kepada isteri yang sedang mencintai dan dicintai suami, cintailah suamimu seadanya kerana itulah yang lebih baik bagimu. Dan janganlah kamu mencintai suamimu kerana harta, pangkat ataupun darjat, nescaya itulah pembinasa hidupmu suatu hari nanti. Kepada cinta yang sedang berterbangan mencari pohon-pohon kasih, carilah pohon-pohon yang padanya ada cahaya-cahaya keimanan yang akan menjanjikan kebahagiaan buatmu di dunia mahupun akhirat.

Doa: Ya Allah, jika dia benar untuk, dekatkanlah hatiku dengan hatinya. Jika dia bukan milikku, damaikanlah aku dengan ketentuanMu dan tetapkanlah aku dalam agamaMu.

Artikel ini ditulis oleh Allahyarham Muhammad Afez yang merupakan bekas pelajar Matrikulasi Johor. Al Fatihah.