“Saya pernah mengalami keadaan di mana jiwa ini tercari-cari akan hala tuju, dan saya mendengar kata hati saya untuk mendalami Islam, alhamdulillah mujur saya mengikut kata hati. Itulah sebenarnya yang harus kita lakukan, percayakan kata hati dan nescaya hidup ini akan menjadi lebih baik. Satu perkara lagi, keyakinan diri haruslah tinggi, kerana pada zaman yang serba moden ini pelbagai ranjau dan halangan yang menanti, perubahan ke arah kebaikan juga perlu dilakukan kerana perkara itu akan sedikit sebanyak membina benteng
keyakinan diri. Segala perkara ini merupakan cerminan kepada perjalanan kehidupan kita dan walau apa pun yang terjadi kekalkan dengan kepercayaan dan iman kita.”
“Saya mula tertarik kepada agama Islam pada tahun 2003. Saya masih ingat ketika itu saya mula berjinak-jinak dan membaca bahan bacaan tentang Islam dan sedari itulah jiwa saya ini meronta-ronta untuk mengenali agama ini dengan lebih mendalam. Sebenarnya kehidupan di kolej banyak mengajar saya” jelas beliau yang hanya belajar setahun sahaja dalam bidang rekaan di Sommerset College of Art & Technology.
“Kehidupan di kolej memberikan tekanan yang hebat, semua terlalu mencuba untuk menjadi lebih moden dan juga merubah pendirian semata-mata supaya diterima dalam kelompok rakan seuniversiti. Ketika itu gaya pemakaian dan juga tahap pergaulan yang bebas amat merimaskan saya. Everything seems not right, dan ketika itu hanya ajaran Islam yang menjadi peneman setia, akhirnya pada tahun 2004 saya bertekad untuk memeluk Islam dan alhamdulillah segalagalanya dipermudahkan oleh Allah S.W.T.”
Apabila seseorang itu memeluk Islam, mereka diibaratkan sesuci bayi yang baru lahir, penghijrahan yang dilakukan haruslah sepenuh hati dan secara menyeluruh. Terdetik hati penulis mengenai hijrah hijab beliau, adakah dilakukan sedikit demi sedikit ataupun secara drastik... “Saya memakai hijab pada hari pertama saya melafazkan kalimah syahadah, ketika itu perasaan saya bercampur baur antara sedih, gembira dan kagum.”
“Sedih bukan kerana menyesal tetapi menginsafi segala kekhilafan yang berlaku sebelum ini. Untuk menyesuaikan diri, saya mengambil masa hampir dua tahun untuk menjadi selesa berhijab. Perubahan ini memberikan banyak hikmah, diri saya merasa lebih yakin dan hati berasa lebih tenang. Seperti diri ini kurang diperhatikan lelaki dan diri ini tidak terdedah, paling penting saya tahu Allah sememangnya sentiasa berada bersama saya, alhamdulillah.”
No comments:
Post a Comment